Sunday 2 February 2014

Tafsir Surah Al Baqarah Ayat 270-274 (Habib Najmuddin bin Othman Al Khered)

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

·        Ayat 270
      Allah mengetahui nafaqah dan nazar yang kita berikan. Ada yang mengatakan bahawa nafaqah itu sesuatu yang didermakan. Ada juga pendapat lain yang mengatakan bahawa nafaqah itu adalah zakat, yang mana hukumnya wajib. Nafaqah itu diwajibkan oleh Allah sedangkan nazar itu kamu wajibkan kepada dirimu.
      
      Hukum asal perkara yang dinazarkan itu adalah harus. Terdapat syarat-syarat untuk orang-orang yang bernazar. Kewajipan seperti solat fardhu memang sudah menjadi kewajipan, maka, tidak perlu untuk bernazar. Nazar dengan perkara yang haram pula tidak boleh ditunaikan, malah perlu membayar kafarah. Rasulullah SollAllahu'alaihiwasallam bersabda kepada Sayyidatina Aisyah radhiAllahuanha, 'Sekiranya nazar yang baik, maka ia wajib ditunaikan. Sekiranya nazar yang tidak baik, ia tidak boleh ditunaikan.' Orang yang bernazar dengan nazar yang tidak baik dikenakan denda, iaitu dengan membayar kafarah. Terdapat pelbagai hukum untuk nazar. Nazar yang makruh juga ada. Menurut Rasulullah SollAllahu'alaihiwasallam, mereka yang bernazar itu bakhil. Dia melakukan ibadah daripada sunnah menjadi wajib dan dia meletakkan syarat. Analoginya, dia seolah-olah membayar upah kepada Allah. Nazar yang baik tidak diletakkan syarat.

Allah Maha Mengetahui nafaqah dan nazar yang kita berikan. Kita mesti meyakini bahawa Allah pasti akan memberi ganjaran yang luarbiasa. Orang-orang yang zalim tidak akan mendapatkan pertolongan. Orang-orang yang tidak tunaikan pada tempatnya, tidak melakukan dengan cara yang betul, tidak akan mendapatkan pertolongan. Harta mestilah halal. Dan harta tersebut mestilah dikeluarkan di jalan yang halal. Dua-dua mesti halal. Harta yang diambil secara zalim mesti dipulangkan kepada yang berhak. Harta yang haram itu tidak dibenarkan untuk diinfakkan kepada masjid, digunakan untuk membina madrasah dan sebagainya.

Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiAllahuanhu, dia berkata, Rasulullah SollAllahu'alaihiwasallam bersabda, Allah berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya golongan manusia yang pertama yang diadili pada hari kiamat kelak ialah: pertama, orang yang mati syahid secara zahirnya. Orang tersebut dibicarakan lalu diperlihatkan kepadanya kenikmatan yang bakal diterimanya dan dia pun melihatnya. Akan tetapi, lalu dia ditanya: 'Apa yang telah engkau lakukan?' Dia menjawab: 'Aku telah berperang keranaMu sehingga terbunuh sebagai syahid.' Allah berfirman yang bermaksud: 'Engkau berdusta. Yang sebenarnya engkau berperang dengan niat supaya engkau disebut sebagai pahlawan dan engkau telah pun mendapatkannya.' Seterusnya, Allah memerintahkan (kepada malaikat) agar orang tersebut diheret pada mukanya sehingga akhirnya dia dihumbankan ke dalam neraka. Kedua, orang yang mempelajari ilmu Islam dan mengajarkannya kepada orang lain dan selalu membaca al-Quran. Orang ini pun lalu dibicarakan, lalu diperlihatkan kepadanya kenikmatan yang akan diterimanya dan dia pun melihatnya. Akan tetapi, lalu dia ditanya: 'Apa yang telah engkau lakukan?' Dia menjawab: 'Aku telah mempelajari ilmu Islam dan mengajarkannya kepada orang lain serta selalu membaca al-Quran kerana-Mu.' Allah berfirman yang bermaksud: 'Engkau berdusta. Yang sebenarnya engkau mempelajarinya supaya engkau dikatakan sebagai orang alim dan selalu membaca al-Quran supaya engkau disebut sebagai qari (orang yang pakar dalam membaca al-Quran) dan engkau telah pun mendapatkan semua itu.' Lalu, Allah memerintahkan (kepada malaikat) agar orang tersebut diheret pada mukanya sehingga akhirnya dia dicampakkan ke dalam neraka. Ketiga, orang yang diberi kekayaan melimpah ruah oleh Allah, yang digunakan untuk selalu bersedekah. Orang ini pun lalu dibicarakan, lalu diperlihatkan kepadanya kenikmatan yang bakal diterimanya dan dia pun melihatnya. Akan tetapi, lalu dia ditanya: 'Apa yang engkau lakukan dengan hartamu? 'Dia menjawab: 'Tiada satu kesempatan pun yang di dalamnya Engkau suka agar sesorang mengeluarkan sedekah padanya, melainkan aku bersedekah di dalamnya kerana-Mu.' Allah berfirman: 'Engkau berdusta. Yang sebenarnya, engkau mengeluarkan sedekah tersebut dengan niat agar engkau dikatakan sebagai seorang yang dermawan dan engkau telah pun mendapatkan gelaran itu.' Seterusnya, Allah memerintahkan (kepada malaikat) agar orang tersebut diheret pada mukanya sehingga akhirnya dia dihumbankan ke dalam neraka."


      Orang yang menginfakkan harta di jalan Allah kerana ingin dipuji bahawa dia adalah dermawan, dia mendapat pujian di dunia, maka di akhirat tidak ada bahagian lagi untuknya, lalu dia dicampakkan ke neraka. Ada juga mereka yang memulakan dengan niat yang betul, tetapi kemudian gugur. 
   
      Ayat 271
      Menzahirkan sedeqah secara terang itu baik kerana menjadi contoh yang baik. Tidak salah untuk menginfakkan harta secara zahir atau dilihat orang bilamana menginfakkan harta di jalan Allah. Tetapi sekiranya sedeqah-sedeqah itu disembunyikan serta diberikan kepada fakir miskin, maka ia adalah baik bagi kamu. Terdapat dalil bahawa sedeqah secara sembunyi itu lebih afdhal. Ada juga pendapat bahawa sedeqah secara sembunyi itu untuk sedeqah yang sunnah, tetapi untuk yang wajib (zakat) pada zaman ini dilakukan secara terang-terangan. Ada buktinya, resitnya dan juga mengingatkan orang lain untuk membayar zakat. Pada zaman sahabat dahulu zakat dirahsiakan. Ada ibadah yang lebih baik dizahirkan daripada dirahsiakan seperti solat berjemaah. Sekiranya seseorang itu ingin membuat kebaikan dan dia tidak terhalang daripada membuat kebaikan, tetapi tidak membuatnya dengan alasan bahawa dia takut riak, maka sesungguhnya dia telah riak. Sekiranya seseorang itu memang melakukan kebaikan kerana ingin dilihat dan dipuji oleh orang lain, maka dia syirik kepada Allah. Kamu mesti membuat kebaikan walaupun terpaksa dilihat oleh orang lain. Jangan kamu hasad kecuali kepada dua orang, yang pertama, orang yang mempunyai ilmu dan dengan ilmu itu dia berbakti, menyumbang ilmunya siang dan malam. Dan yang kedua, orang yang mempunyai harta dan dia menginfakkan hartanya di waktu pagi dan malam.

      Cukuplah Allah yang mengetahui kerana yang memberi ganjaran ialah Allah Subhanahuwata'ala. Dikisahkan bahawa Rasulullah SollAllahu'alaihiwasallam membuka ruang untuk para sahabat menginfakkan harta kepada Allah Subhanahuwata'ala. Sayyidina Umar Al Khattab membawa separuh daripada hartanya. Maka Rasulullah SollAllahu'alaihiwasallam bertanya, 'Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?' Jawab Umar, 'Aku tinggalkan separuh daripada (harta) ini, wahai Rasulullah.' Setelah itu datang pula Sayyidina Abu Bakar As Siddiq yang membawa seluruh hartanya. Nabi SollAllahu'alaihiwasallam bertanya, 'Wahai Abu Bakar, apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?' Kata Abu Bakar, 'Janji Allah dan janji RasulNya.' Menangis Sayyidina Umar mendengarnya. 'Demi Allah, wahai Abu Bakar, tidak kami ini bersegera untuk melakukan kebaikan dalam satu hal kecuali engkau pasti akan mendahului pada kami.' Konsep fastabiqulkhairat, yakni berlumba-lumba kepada kebaikan, diamalkan oleh para sahabat Rasulullah SollAllahu'alaihiwasallam. Dikisahkan bahawa Sayyidina Abu Bakar ingin membuat tempat air (telaga) tetapi ianya telah didirikan oleh orang Yahudi. Kecewa sungguh Sayyidina Abu Bakar sehingga datang dengan wajah sedih kepada Rasulullah SollAllahu'alaihiwasallam. Kata Rasulullah SollAllahu'alaihiwasallam, niat orang mukmin itu lebih baik daripada amalan orang Yahudi tersebut. Niat Sayyidina Abu Bakar tadi seperti sudah membuat telaga. Sayyidina Uthman bin Affan, Abdurrahman bin Auf dan sahabat-sahabat lain. Mereka ini adalah sahabat-sahabat yang sentiasa berusaha untuk menginfakkan harta kepada Allah Subhanahuwata'ala. 

      Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui secara mendalam apa yang kamu lakukan. Hal ini disebut untuk memberitahu bahawa walaupun kamu sembunyikan, Allah mengetahui apa yang kamu lakukan. Ganjaran pasti diberikan oleh Allah Subhanahuwata'ala. Jangan rasa rugi jika ianya tidak diketahui orang lain. Tidaklah ia menjadi sia-sia. Sesungguhnya Allah sangat mendalam mengetahui apa yang kamu lakukan.

      Ayat 272
      Ada riwayat yang mengatakan bahawa orang Islam, yang mana keluarganya belum Islam ataupun masih musyrik, biasanya menginfakkan harta kepada orang miskin yang belum Islam. Mereka bertanya kepada Rasulullah SollAllahu'alaihiwasallam, adakah patut infak mereka dilanjutkan sedangkan yang diinfakkan itu belum lagi Islam. Rasulullah SollAllahu'alaihiwasallam mengatakan ya, ia patut diteruskan. Kemudian, turun ayat ini, iaitu tidak wajib untuk menjadikan mereka yang kafir itu mendapat petunjuk.

      Riwayat lain mengatakan bahawa umat Islam pada masa itu semakin ramai, orang miskin juga semakin ramai. Rasulullah SollAllahu'alaihiwasallam mendahulukan orang Islam, bukannya orang kafir. Orang-orang Islam sudah ramai dan mereka lebih memerlukan. Mudah-mudahan orang-orang kafir yang melihat akan tertarik untuk memeluk Islam. Maka turunlah ayat ini. Seolah-olah memberitahu bahawa boleh memberi kepada mereka yang bukan Islam. Sekiranya orang Islam meminta sedeqah, boleh beri, malah, dapat pahala. Sekiranya dia menipu, sedangkan kamu tidak tahu, tidak mengapa. Tidak hilang pahala disebabkan seseorang itu ditipu. Semuanya berdasarkan kepada niat. Terpulang kepada niat kamu. Penipuannya akan dihisab oleh Allah Subhanahuwata'ala. Bilamana kamu memberi, kamu pasti akan mendapat ganjaran daripada Allah, hatta memberi kepada mereka yang bukan Islam. Bantulah orang bukan Islam yang sangat memerlukan. Pasti mereka akan lihat pada akhlak kamu. Inilah Islam. Inilah akhlak mulia yang dicontohkan oleh Rasulullah SollAllahu'alaihiwasallam.

      Pasti ada ganjaran di sisi Allah Subhanahuwata'ala buat mereka yang infak di jalan Allah. Jangan bimbang, kamu akan mendapatkannya. Apa yang diberikan kepada kamu itu kekal. Rasulullah SollAllahu'alaihiwasallam bertanya kepada para sahabat, 'Wahai sahabatku, adakah harta kamu yang kamu sayangi atau harta warisan (orang lain) yang kamu sayangi?' Kata para sahabat, 'Pasti yang kami sayang itu harta kami. (Tidak mungkin sayang kepada harta orang lain)' Kata baginda SollAllahu'alaihiwasallam, 'Harta yang kamu infakkan di jalan Allah, yang mana kamu sedeqahkan itu adalah hartamu. Tetapi harta yang ada pada kamu sekarang ini akan menjadi harta orang lain.' Bermakna yang kamu infak dan sedeqahkan itu yang kekal, yang ada pada kamu, yang mana kamu simpan-simpan ini belum tentu kamu menggunkannya. Bila mati nanti, ia pasti akan menjadi hak milik orang lain. Di akhirat nanti tidak akan diceritakan apa yang kamu tinggal. Yang diceritakan adalah apa yang kamu bawa daripada sedeqah dan amal jariah.

      Jangan infak kecuali kerana menginginkan keredhaan Allah. Niat sedeqah atau infak selain daripada itu tidak berguna sama sekali. Diibaratkan orang yang riak di dalam sedeqah dan sebagainya seperti batu yang licin, di atasnya tanah. Apabila ditimpa hujan yang lebat, maka akan hilang tanah daripada atas batu tersebut. Habis. Tiada sisa sama sekali apa yang telahpun kamu perbuat. 

      Mereka yang mendermakan harta di jalan Allah akan disempurnakan oleh Allah Subhanahuwata'ala. Allah pasti akan menunaikan janjiNya untuk memberikan ganjaran dan kamu tidak akan sekali-kali dikurangkan, bahkan, hakikatnya, akan dilebihkan. Mereka yang menginfakkan harta di jalan Allah itu seperti satu benih yang ditanam, maka tumbuh tujuh tangkai, yang mana pada setiap tangkai itu terdapat 100 biji buahnya. Dan Allah akan melipatgandakan untuk siapa yang dikehendakiNya. Kamu boleh mendapatkan lebih berdasarkan keikhlasan dan kepada siapa kamu berikan.

      Imam Suyuti apabila menggariskan tentang sedeqah, membahagikan sedeqah itu kepada beberapa bahagian, yang mana ganjarannya berbeza-beza. Antaranya, bersedeqah kepada orang yang biasa, yang sihat jasmani. Kemudian pergi kepada orang yang buta, orang yang cacat atau tertimpa musibah, termasuklah anak yatim dan piatu (orang yang memerlukan). Seterusnya, kepada kerabat yang memerlukan. Kepada kedua-dua orang ibu bapa (agar ibu bapa tidak meminta-minta). Dan yang paling tinggi nilainya, bersedeqah kepada orang alim, orang yang faqih, ulama, guru, para masyaikh (agar mereka tidak dihinakan dengan meminta-minta). Allah itu Maha Luas kurniaanNya dan Maha Mengetahui.

      Ayat 273
      Pada zaman Rasulullah SollAllahu'alaihiwasallam ada segolongan yang dikenali sebagai ahlus suffah. Mereka menghabiskan umurnya untuk duduk di dalam masjid menimba ilmu. Mereka benar-benar mendalami pada ilmu. Mereka tidak memgembara di muka Bumi, bukan kerana mereka ada ketidakmampuan berbanding orang lain. Bukan bermaksud kita patut jadi seperti itu. Jangan menyusahkan orang lain, itu adalah perkara yang dibenci. Mereka itu disangka orang kaya. Orang tidak mengetahui akan kemiskinan mereka kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Bukan seperti sesetengah orang yang tidak kerja kerana malas, lalu meminta-minta. Hadis yang lain ada menyatakan bahawa bukan orang miskin itu meminta-minta untuk mendapatkan sesuap atau dua suap, tetapi orang yang miskin itu adalah orang yang mana dia tidak meminta-minta. Dia adalah miskin dan kamu patut beri kepadanya.
     
      Meskipun kamu memerlukan sesuatu, dikatakan bahawa kamu akan dicintai oleh Allah apabila kamu zuhud kepada dunia. Sekiranya kamu zuhud dengan apa yang di tangan orang, kamu akan dicintai oleh orang kerana sifat manusia itu tidak suka diminta-minta. Sekali mungkin boleh. Dua kali, sudah lain macam. Tiga kali, mula marah. Tetapi dengan Allah lain, Allah suruh kamu minta. Maka kenapa kamu tidak minta? Kamu sombong sangat dengan Allah.

      Sesetengah manusia sengaja memiskinkan diri, sedangkan dia boleh memakai pakaian yang elok. Tetapi dia ingin menunjuk kemiskinan sehingga menggunakan benda yang kotor dan sebagainya. Telah ditakdirkan dia miskin. Sehingga disebutkan bahawa orang miskin itu mulia. Nabi SollAllahu'alaihiwasallam diperintahkan oleh Allah untuk duduk bersama-sama orang-orang yang miskin. Disebutkan agar kamu bersahabat kepada orang-orang fakir. Mereka itu adalah sultan. Mereka itu adalah pemimpin. Mereka itu adalah orang yang besar. Kerana orang-orang yang miskin, biasanya dia berserah, bertawakal kepada Allah dan berusaha mendapatkan kecukupan untuk dirinya. Dirinya jauh dari ujian harta yang membuatkan seseorang itu akan menjadi sombong atau lupa kepada Allah.

      Ayat 274
      Ada pendapat yang mengatakan bahawa ayat ini diturunkan kepada Sayyidina Ali karamAllahuwajhah. Sayyidina Ali menginfakkan hartanya di waktu malam secara senyap-senyap. Ada juga yang diinfakkannya pada waktu siang. Ada secara sembunyi dan ada juga yang secara terang-terangan. Keempat-empat ada. Pendapat lain menyatakan bahawa ayat ini adalah mengenai Sayyidina Ali dan Abdurrahman bin Auf. Dikatakan bahawa Sayyidina Ali, sifatnya bersedeqah pada waktu malam dan secara rahsia sedangkan Abdurrahman bin Auf secara terang-terangan dan pada waktu siang. Sesiapa yang infak dengan mana-mana daripada empat kondisi ini, maka mereka itu akan mendapat ganjaran di sisi Tuhan mereka. Mereka tidak akan bimbang, tidak akan berdukacita, tidak akan rasa kurang, bahkan tidak akan rasa takut pada hari kiamat kerana mereka akan mendapat perlindungan daripada Allah Subhanahuwata'ala dan dijauhkan daripada azab Allah Subhanahuwata'ala.
.
      اللّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَنَبِيِّكَ وَرَسُوْلِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَبَارِكْ وَسَلِّمْ

     WAllahu'alam.